Connect with us

Kisah nabi Samson dan Lailatul Qadar

Kehidupan

Kisah nabi Samson dan Lailatul Qadar

Tidak ramai antara kita yang tahu tentang kisah di sebalik wujudnya malam Lailatul Qadar. Yang mana jika kita beribadat pada malam ini pahala yang akan kita akan dapat adalah sebanyak pahala selama 1000 bulan. Bersamaan dengan 83 tahun 4 bulan. Dalam Surah al-Dukhan ayat 2, Allah S.W.T. telah berfirman: “Sesungguhnya Kami telah turunkan Al-Quran itu pada malam yang penuh keberkatan dan sesungguhnya Kami-lah yang memberi peringatan”.

Sebelum turunnya ayat di atas, nabi Muhammad S.A.W. ada bercerita tentang seorang nabi yang bernama Syam’un Al-Ghazi ataupun jika menurut orang Kristian dipanggil sebagai Nabi Samson. Nabi ini wujud pada zaman sebelum Nabi Muhammad S.A.W. dan seorang nabi yang sangat kuat mentauhidkan Allah. Pada masa yang sama nabi Samson juga tinggal di bawah pemerintahan seorang raja yang mensyirikkan Allah.

Nabi Samson ini juga sebenarnya seorang yang sangat kuat dari segi fizikal selain mempunyai rambut yang panjang. Beliau sentiasa datang menghadap sang raja dan cuba menasihatkannya untuk bertaubat dan menyembah Allah yang esa. Disebabkan raja ini tidak senang dengan adanya nabi Samson ini di dalam negerinya, maka dia sering mengarahkan pengawal dan panglimanya untuk datang beradu tenaga dan membunuhnya tetapi tidak pernah berjaya.

Raja ini mati akal untuk mencari jalan membunuhnya sehinggakan seangkatan tentera yang datang menyerang pun mampu nabi Samson tewaskan. Sehinggakan suatu hari dia mendapat satu akal yang amat licik iaitu menggunakan isteri kepada nabi Samson sendiri yang bernama Dilaila. Raja itu telah berjanji untuk memberikan ganjaran segunung emas jika dia boleh mendapat tahu kelemahan nabi Samson.

Pada malam pertama rancangan isteri nabi Samson untuk menguji dan mencari kelemahan suaminya adalah dengan mengikat tangan dan kaki beliau dengan tali dan rantai besi semasa beliau sedang tidur tetapi keesokan harinya tali-tali itu telah putus dan rantai-rantai besi pula telah pecah. Lalu nabi Samson bertanya, “Apakah yang engkau buat ini wahai isteriku?”. Dilaila menjawab, “Tiada apa, sekadar ingin bergurau…”.

Dilaila bertanya lagi, “Bermacam-macam tali dan rantai yang kuat telah aku belenggu engkau tetapi engkau dengan mudah melepaskan diri. Bagaimana caranya engkau melakukan itu?”. “Jika engkau ingin tahu kelemahanku, ia berada di rambutku”, itulah jawapan dari Nabi Samson. Keesokan malamnya, Dilaila telah memotong rambut nabi Samson dan menggunakannya bersama rantai besi dan tali-tali untuk membelenggu tangan dan kakinya sekali lagi semasa tidur.

Keesokan harinya, ternyata nabi Samson seolah-olah kehilangan kekuatan untuk melepaskan diri. Setelah mendapati nabi Samson meronta-meronta dan tidak mampu bergerak, Dilaila terus berlari ke istana raja untuk memaklumkan hal tersebut. Lalu sekumpulan tentera daripada raja telah dikerahkan ke sana untuk mengheret beliau ke istana. Sebaik sampai di istana beliau telah diikat pula di dua tiang istana yang sangat besar untuk diseksa.

Bermacam-macam seksaan yang telah diterima oleh beliau, dan yang paling menyeksakan adalah mata nabi Samson telah dikorek sehingga beliau tidak dapat melihat. Selama berhari-hari beliau diperlakukan seperti itu, sehinggakan suatu malam nabi Samson telah berdoa kepada Allah supaya memberikannya kekuatan semula. “…jika aku mendapat kekuatanku semula, nescaya aku akan beribadat kepada engkau selama 1000 tahun tanpa henti…”, begitulah antara janji dalam doa beliau.

Keesokan harinya, titis-titis embun telah bertebaran di sekitar tubuh badan nabi Samson sehingga matanya yang tidak dapat melihat kembali melihat dan luka-luka seksaan di tubuhnya kembali sembuh. Malah nabi Samson merasakan kekuatannya yang dahulu telah kembali. Lantas dengan sekuat tenaga nabi Samson telah menarik tali dan rantai besi yang membelenggunya untuk melepaskan diri. Sebaliknya yang berlaku, dua tiang besar yang mengikat nabi Samson telah patah dan runtuhlah istana tersebut.

Semua orang-orang yang berada di dalam istana tersebut telah mati termasuk sang raja dan isteri nabi Samson, Dilaila. Nabi Samson yang selamat telah meninggalkan runtuhan istana tersebut dan mengotakan janjinya kepada Allah untuk beribadat kepada-Nya selama 1000 tahun. Daripada cerita inilah para sahabat Rasulullah S.A.W. teramatlah cemburu sehingga menyebabkan turunnya ayat dalam Surah al-Qadr, ayat 1 hingga 3: “Sesungguhnya Kami menurunkannya (Al-Quran) pada Lailatul Qadar. Tahukah kamu apakah Lailatul Qadar itu? Lailatul Qadar adalah lebih baik daripada seribu bulan.”

 

Continue Reading
Advertisement
Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Advertisement

Facebook

To Top