Connect with us

Ketagihan Pornografi dan Cara Merawatnya

Kehidupan

Ketagihan Pornografi dan Cara Merawatnya

Pada zaman kini, kanak-kanak dan pelajar lebih mudah untuk mendapatkan capaian internet. Sehinggakan berlaku jenayah-jenayah seksual yang mana pelakunya sendiri adalah kanak-kanak dan pelajar sekolah. Perkara ini amat membimbangkan para ibu-bapa dan juga masyarakat sekeliling. Sejauh manakah internet ini dapat memberikan kesan negatif berbanding kesan positif daripada kemudahan teknologi maklumat yang ada kini.

Kanak-kanak dan pelajar sekolah kini ramai yang sudah memiliki telefon bimbit sendiri. Malah ibu-bapa juga memberikan kemudahan dengan capaian internet sama-ada pra-bayar atau pasca-bayar. Daripada sinilah perasaan ingin tahu mereka muncul untuk mencapai maklumat yang sebelum ini mereka tidak pernah dapat.

Mungkin kita lihat kes jenayah seksual yang melibatkan kanak-kanak dan pelajar jarang-jarang kita dengar tetapi bagaimana pula jika ada antara mereka yang sudah terpengaruh dengan video-video dan gambar-gambar pornografi? Pasti ia akan mengundang keinginan syahwat dan boleh menjadi satu ketagihan dengan memuaskan nafsu sambil menonton kandungan seperti itu melalui telefon bimbit masing-masing.

Mengikut kajian keadaan otak manusia yang ketagihan dadah mempunyai persamaan dengan otak manusia yang sedang ketagihan pornografi. Lebih teruk lagi jika ketagihan pornografi yang melampau akan menghasilkan sindrom yang sama dengan penagih dadah seperti resah, cepat marah, dan tidak dapat berfikir secara rasional.

Sama seperti dadah, otak manusia yang ketagihan pornografi akan menghasilkan dophamine iaitu hormon yang akan menyebabkan kita berasa seronok. Selain daripada itu melakukan aktiviti yang kita suka juga boleh menyebabkan otak menghasilkan hormon ini. Walaupun begitu aktiviti menonton pornografi yang berakhir dengan masturbasi ini akan menjadikan mereka hidup tidak normal kerana tiada interaksi fizikal dan emosi sesama pasangan lelaki perempuan yang sepatutnya.

Ketagihan ini datang dengan 4 peringkat. Yang mana pada peringkat pertama mereka hanya ingin mencuba. Peringkat kedua pula datang dengan kebiasaan disebabkan pengalaman kali pertama yang menyeronokkan. Peringkat ketiga pula adalah apabila mereka menjadikan aktiviti ini sebagai rutin dan dilakukan dengan kerap.

Pada peringkat ke-4 pula adalah peringkat yang mana, apabila mereka meninggalkan aktiviti itu mereka mula berasa resah dan tidak senang duduk. Ini adalah antara masalah kesihatan mental yang serius kerana apabila mereka berkahwin pun mereka akan lebih memilih untuk melakukan aktiviti ini berbanding dengan  pasangan kerana cita rasa atau ciri-ciri model yang mereka ingin lihat lebih mudah dicari dan bertukar-tukar mengikut keadaan berbanding pasangan sendiri.

Untuk sesiapa yang mempunyai masalah seperti ini diminta untuk pergi berjumpa dengan kaunselor, pakar psikologi, atau doktor. Jika mereka berasa malu dan merancang untuk merawat ketagihan itu, disarankan agar mereka menurunkan tahap kekerapan menonton pornografi secara berperingkat. Orang seperti ini juga disarankan untuk tidak menyendiri dengan komputer dan telefon bimbit sebaliknya pergilah bergaul dengan masyarakat dan sibukkan diri dengan aktiviti-aktiviti yang lebih berfaedah.

Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Advertisement

Facebook

To Top