Connect with us

Hikayat Puteri Walinong Sari

Kehidupan

Hikayat Puteri Walinong Sari

Jika kita menelusuri kisah-kisah dongeng atau hikayat dalam negeri-negeri di Malaysia. Kita akan dapati setiap negeri pasti akan mempunyai satu personaliti atau figura yang menjadi identiti sesebuah negeri. Sebagai contoh, jika sebut Melaka kita mungkin akan teringat personaliti seperti Parameswara, Hang Tuah, dan Puteri Gunung Ledang.

Jika kita bercakap tentang Langkawi pula kita akan teringat pada Mahsuri. Artikel pada kali ini akan saya ceritakan satu personaliti yang mungkin jarang diingati iaitu Walinong Sari atau Wanang Seri daripada negeri Pahang. Walinong Sari adalah seorang puteri yang diangkat bagi negeri Pahang atau pun nama lainnya pada masa dulu adalah negeri Inderapura.

Walinong Sari merupakan anak kepada bendahara Paduka Raja. Pada masa dulu, negeri Pahang ini diperintah oleh negeri Melaka. Maka bendahara Paduka Raja ini adalah wakil yang di amanahkan untuk mentadbir negeri Pahang. Daripada itu menyebabkan Walinong Sari ini membesar di negeri Pahang.

Nak dijadikan cerita Walinong Sari ini bukanlah seperti wanita-wanita lain. Beliau tidak cukup feminin dan mempunyai kecenderungan dan minat pada aktiviti silat dan menyabung ayam. Malah beliau ini sangat mahir dalam persilatan sehinggakan ramai lelaki yang cuba menumpaskan beliau dalam pertarungan tetapi gagal. Dalam masa yang sama juga setiap kali bertarung, Walinong Sari akan menutup sebahagian wajahnya daripada terlihat oleh penonton.

Pada suatu hari ayah beliau Paduka Raja telah mengemukakan syarat kepada sesiapa yang ingin mengahwini anaknya, mestilah menewaskan Walinong Sari dalam pertarungan silat. Tetapi sayangnya, tiada seorang pun lelaki yang dapat menewaskan beliau. Pada masa yang sama, sultan Melaka mendapat perkhabaran tentang Walinong Sari yang cantik dan pandai bersilat.

Daripada situ, sultan Melaka telah membuat keputusan untuk meminang beliau untuk anak salah seorang pembesarnya. Suatu hari Inang Tua, salah seorang dayang ingin ke pasar untuk membeli kain cindai. Walinong Sari meminta izin kepada ayahandanya untuk ikut bersama. Didalam perjalanan, mereka telah berehat di sebuah tasik yang amat cantik.

Tanpa mereka sedari, seorang individu yang bernama Raja Mambang Segara sedang memerhatikan mereka. Mungkin kerana tertarik dengan Walinong Sari, lelaki  itu telah mengekori mereka hingga ke pasar. Sebaik tiba di pasar, Raja Mambang telah menukarkan diri kepada seorang pengemis dan memberikan sebuah dulang emas yang amat cantik.

Mereka berdua mula berkenalan dan pada minggu-minggu berikutnya Raja Mambang memberikan pelbagai hadiah lain seperti bunga dan payung. Tanpa sedar, Walinong Sari telah jatuh cinta pada pengemis itu. Pada suatu hari Walinong Sari sendiri telah mencabar Raja Mambang untuk beradu silat setelah mendapat tahu Raja Mambang pandai bersilat. Maka, beradulah mereka dengan sengit sehingga 3 hari 3 malam lamanya.

Apabila Walinong Sari merasa letih, kain yang menutup wajahnya terlepas sehingga menampakkan kecantikan wajahnya. Raja Mambang Segara terpesona sehingga menyebabkan dia pengsan sebelum rupa sebenarnya terdedah dan ghaib. Pada malam itu juga Walinong Sari telah bermimpi berjumpa seorang lelaki yang mendedahkan identiti sebenar Raja Mambang sebagai anak kepada Laksamana Petir. Menurut di dalam mimpi itu, jika ingin bertemu lagi dengan Raja Mambang, beliau hendaklah mendaki gunung Tahan hingga ke puncak.

Keesokan harinya, Walinong Sari telah hilang dari dalam kamarnya. Para dayang percaya, Walinong Sari telah ke gunung Tahan secara bersendirian kerana mencari kekasih hatinya iaitu Raja Mambang Segara. Sejak hari itu tiada lagi kisah tentang Walinong Sari.

Continue Reading
Advertisement
Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Advertisement

Facebook

To Top