Connect with us

Adat Masyarakat Melayu yang Pelbagai

Kehidupan

Adat Masyarakat Melayu yang Pelbagai

Syarat untuk menjadikan sesebuah bangsa itu beridentiti adalah dengan memenuhi adat. Setiap bangsa di dunia ini mempunyai adat-adat yang masih di amalkan hingga kini. Inilah sepatutnya yang harus dicontohi oleh warga muda kita. Tiada lagi generasi yang lebih layak untuk memegang amanah meneruskan budaya dan adat dalam sesuatu bangsa jika bukan ahlinya sendiri.

Adat melayu itu sendiri sebenarnya terbahagi kepada 4 jenis. Pertama adalah ‘adat yang sebenar adat’. Adat ini adalah lumrah dan fitrah semulajadi yang telah ditetapkan oleh sang Pencipta. Seperti adat api panas membakar, adat air basah, adat angin menyejukkan, adat ayam berkokok, dan adat tajam memutuskan. Dengan kata lain ‘adat yang sebenar adat’ ini adalah hukum alam atau hukum fizik yang takkan dapat diubah oleh manusia.

Adat yang kedua adalah, ‘adat yang diadatkan’. Biasanya adat ini adalah satu peraturan yang dibuat oleh orang terdahulu dengan tujuan untuk menjaga keharmonian di dalam sesebuah masyarakat. Walaupun begitu adat ini tidaklah bertulis atau dicatatkan kerana ia tersebar secara verbal dari generasi ke generasi. Sebagai contoh, ‘jangan duduk di atas bantal nanti buntut berbisul’, jangan menyanyi di dapur nanti dapat suami tua’, ‘jangan menambah nasi ketika pinggan sudah licin nanti rezeki susah nak masuk’, ‘mencampak pakaian pengantin ketika awal pagi majlis supaya hujan tidak turun’ dan sebagainya.

Adat yang ketiga adalah ‘adat istiadat’. Adat seperti ini banyak kita masih dapat lihat kerana ia banyak tersusun di dalam sesuatu majlis. Orang-orang tua dahulu menjadikan majlis-majlis ini seperti majlis rasmi yang mempunyai prosedur dan SOP yang ketat. Seperti adat ‘mencukur jambul’, ‘adat merisik’, ‘adat berkahwin’, ‘adat berkhatan’, ‘adat pertabalan Raja’, dan sebagainya.

Adat yang terakhir sekali adalah ‘adat resam’. Adat jenis ini melibatkan kelaziman atau kebiasaan orang-orang dahulu kala. Sesuatu perbuatan yang berulang kali dibuat sehingga menjadikannya satu tabiat yang sukar terubah. Sebagai contoh adalah ‘melopong ketika khusyuk mendengar ceramah’, ‘memakai kain batik atau pelekat ketika waktu malam’, ‘menggaru kepala apabila tidak paham’, ‘tersengih-sengih apabila berasa malu’, dan sebagainya.

Itulah antara adat-adat yang dapat dihuraikan tentang bangsa Melayu. Sebenarnya masih banyak lagi perkara yang mungkin kita orang muda masih tidak tahu. Mendalami sesuatu ilmu bukanlah sahaja melalui buku-buku tetapi amat penting juga untuk bertanya sendiri pada mereka-mereka yang lebih berusia dari kita. Janganlah hanyut dengan dunia media sosial yang mendedahkan kepada budaya luar sedangkan budaya bangsa kita sendiri yang penuh adab dan tatasusila dilupakan begitu sahaja.

 

Continue Reading
Advertisement
You may also like...
Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Advertisement

Facebook

To Top