Connect with us

V2V: KOMUNIKASI ANTARA KENDERAAN

Automotif

V2V: KOMUNIKASI ANTARA KENDERAAN

Pernah tak anda bayangkan bagaimana suatu hari nanti kenderaan yang anda pandu mampu untuk berinteraksi dengan kenderaan lain di jalan raya tanpa perantara pemandunya? Ini ialah teknologi V2V atau vehicle-to-vehicle yang dijangka akan diprogramkan di dalam kenderaan pada masa akan datang.

Apa itu V2V? Ia sebenarnya ialah sistem yang menghalang kemalangan atau perlanggaran dengan pengesan (sensor) di dalam kenderaan dan peralatan short-range radio communication (DSRC) yang membolehkan pertukaran maklumat antara kenderaan di atas jalan raya, seperti kelajuan, arah dan status brek. Jarak komunikasi antara kenderaan ini adalah lebih panjang berbanding pengesan ultrasonik, kamera dan radar iaitu antara 300 meter, dan ini membantu para pemandu untuk berwaspada dengan sebarang situasi bahaya dengan lebih efektif. Malah, sistem V2V ini juga boleh digabungkan dengan radar dan kamera untuk mencapai tahap kenderaan yang lebih selamat.

Persoalannya, kenapa sistem ini perlu untuk kenderaan pada masa hadapan? Sistem V2V ini sebenarnya sangat berguna dalam keadaan di mana berlakunya brek kecemasan, iaitu apabila lampu brek di bahagian kereta tidak berfungsi atau tidak bernyala, terutamanya pada bahagian selekoh atau ketika membelok, yang boleh menyebabkan kemalangan. V2V ini juga boleh memberi amaran kepada para pemnadu pada kawasan blind spots, meningkatkan kesedaran ketika berlakunya pertukaran lorong dan apabila memotong kenderaan lain pada jalan dua lorong, iaitu pada waktu sibuk.

Apa yang ada dalam sistem V2V ini? Satu daripada komponen utamanya ialah sistem AEB, iaitu brek kecemasan automatik (automatic emergency braking) yang sebenarnya telah ada dalam kebanyakan jenis kenderaan sejak tahun 2006. Sistem AEB ini pula ada dua jenis, iaitu dynamic brake support dan brek “crash imminent”. Dynamic brake support membantu pemandu dengan memberi sokongan untuk menghalang kemalangan yang mungkin berlaku. Sementara itu, sistem brek crash imminent pula akan mengaktifkan sistem brek untuk memperlahankan atau memberhentikan kenderaan apabila pemandu tidak berbuat apa-apa untuk mengelak daripada kemalangan.

Di Amerika Syarikat sendiri, hampir 20 buah syarikat automotif telah mencapai persetujuan untuk menjadikan sistem AEB ini sebagai sistem standard bagi semua kenderaan menjelang tahun 2022. Dan, ia juga sekaligus telah menetapkan teknologi V2V sebagai sistem yang harus ada dalam kenderaan pada masa hadapan. Penggunaan V2V ini dijangka mampu menghalang kematian akibat kemalangan kenderaan sehingga 25%.

Di sebalik rancangan ini, proses perlaksanaan V2V ini mempunyai beberapa isu. Pertamanya ialah kos. Ini kerana proses pemasangan peralatan untuk sistem V2V serta ciri keselamatan untuk memastikan V2V berfungsi dengan baik dalam sesebuah kenderaan memerlukan kos yang tinggi secara keseluruhannya. Meskipun kos ini dijangka akan semakin berkurang menjelang tahun yang berikutnya, namun ia masih lagi menjadi suatu isu yang utama.

Isu lain pula ialah berkaitan dengan kaedah komunikasi untuk V2V. Ini kerana dua teknologi utama yang menjadi pilihan bagi capaian komunikasi antara kenderaan dalam V2V ini adalah DSRC yang berasaskan wi-fi serta teknologi selular 5G. Kedua-duanya mempunyai kelebihan sendiri, dengan DSRC yang boleh beroperasi lama dalam sesebuah kenderaan serta tidak memerlukan rangkaian luar dan teknologi 5G yang boleh mencapai jarak komunikasi sehingga 500 meter jauhnya berbanding 300 meter bagi DSRC. Dan syarikat-syarikat automotif masih dalam perbincangan mengenai kesesuaian kedua-dua teknologi komunikasi ini.

Proses perlaksanaan V2V ini adalah sesuatu yang lebih sukar daripada apa yang dibayangkan. Namun, untuk masa hadapan, ia adalah suatu idea terbaik dalam mengurangkan masalah kemalangan jalan raya dan meningkatkan kesedaran dalam kalangan pemandu. Mungkin menjelang tahun 2025, kita semua akan melihat teknologi V2V ini dapat digunakan sepenuhnya dalam kenderaan kita. Kita nantikan kemunculannya!

Continue Reading
Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Advertisement

Facebook

To Top