Connect with us

TEEN DRIVING TECHNOLOGY: KESELAMATAN BUAT PEMANDU REMAJA

Automotif

TEEN DRIVING TECHNOLOGY: KESELAMATAN BUAT PEMANDU REMAJA

Bagi ibu bapa yang mempunyai anak remaja, pastinya ia sesuatu yang mengerikan apabila memikirkan bagaimana anak remaja anda memandu kereta anda. Lebih-lebih lagi, jika anak remaja anda baru sahaja memperoleh lesen memandu. Namun, usah bimbang. Teknologi masa kini telah mampu untuk menyelesaikan mimpi ngeri anda dan menjaga keselamatan para pemandu anak remaja ini.

Pelbagai syarikat automotif telah mengaplikasikan beberapa jenis teknologi yang bermanfaat khusus buat para pemandu remaja dan golongan muda. Ini adalah untuk memastikan pemanduan yang lebih selamat dan mengelakkan daripada sebarang kemalangan yang tidak diingini. Berikut merupakan antara teknologi dan kaedah yang ditawarkan oleh beberapa syarikat automotif dalam melindungi pemandu remaja.

  1. MyKey – Ford

Teknologi yang dibangunkan oleh syarikat Ford ini berperanan penting dalam mengajar anak-anak remaja untuk memandu dengan lebih selamat dan bertanggungjawab. Terdapat beberapa ciri penting pada MyKey yang menjadikannya teknologi yang efisen buat pemandu remaja. Satu daripadanya ialah sistem teknologi MyKey ini akan memindahkan kesemua panggilan yang masuk sewaktu pemanduan kepada mel suara dan mengelakkan penggunaan telefon sewaktu memandu.

Ciri lain yang terdapat pada teknologi MyKey ini ialah:

  • Belt Minder: bagi memastikan anak remaja anda sentiasa memakai tali pinggang ketika memandu, sistem ini akan berbunyi setiap 30 saat sehinggalah pemandu dan penumpang di bahagian hadapan memakai tali pinggang mereka. Ia membantu untuk mengingatkan anak remaja ini untuk berbuat demikian sebelum mula memandu.
  • Top Speed: bagi sistem ini, teknologi MyKey ini telah memprogramkan halaju yang tertentu bagi pemandu remaja. Apabila aturan Top Speed telah diaktifkan, maka anak remaja anda yang memandu tidak akan boleh memecut meskipun sebanyak mana pun mereka mencuba. Sistem ini sangat sesuai bagi pemandu remaja yang gemar memandu laju.
  • Low Fuel Warning: sistem ini memberi amaran kepada pemandu remaja sebelum tangki minyak kereta kosong atau kekurangan minyak.
  • Do Not Disturb: pengaktifan sistem ini akan menghalang pemandu remaja daripada menerima sebarang panggilan dan mesej telefon sewaktu memandu. Ini akan membantu mereka untuk kekal fokus dalam pemanduan tanpa sebarang gangguan telefon.
  1. Teen Driver – Chevrolet

Teknologi Teen Driver yang dibangunkan oleh Chevrolet ini adalah sesuai bagi membantu para pemandu yang baru pertama kali memandu, terutamanya golongan pemandu muda atau remaja. Apa yang penting, sistem yang ditawarkan oleh Chevrolet ini kad laporan di dalam kenderaan yang berfungsi untuk mengawasi corak pemanduan pemandu remaja. Antara ciri istimewa yang terdapat pada teknologi Teen Driver Chevrolet ini ialah:

  • Speed Alert: seperti mana dalam sistem Ford, sistem ini turut mengawasi halaju yang bersesuaian bagi pemandu remaja. Menariknya, anda sebagai ibu bapa boleh memprogramkan sendiri sistem ini mengikut halaju yang sesuai dengan anak remaja anda. Jadi, anda tak perlu risau lagi dengan keinginan anak anda untuk memecut di jalan raya.
  • Volume Music & Radio Mute: anda pasti tdak suka jika anak anda yang memandu memasang radio atau mendengar lagu dalam keadaan yang bingit di dalam kereta kan? Sistem ini boleh membantu anda dengan menetapkan had bunyi tertentu bagi radio dan untuk mendengar lagu di dalam kereta. Malah, dengan sistem Radio Mute pula, anak anda tidak akan dapat membuka radio seandainya masih belum memasang tali pinggang keledar sebelum memandu.
  1. Blue Link – Hyundai

Sistem Blue Link yang ditawarkan oleh syarikat automotif Hyundai ini telah beberapa tahun dibangunkan dengan pelbagai ciri keselamatan buat pemandu remaja. Menariknya teknologi ini adalah ia akan memaklumkan ibu bapa menerusi emel, teks atau panggilan telefon sekiranya kenderaan yang telah diprogramkan dengan teknologi ini melepasi kawasan atau parameter yang telah ditetapkan. Antara ciri istimewa pada teknologi Blue Link ini ialah:

  • Speed Alert: seperti teknologi yang lain, sistem ini juga memastikan halaju yang dipandu tidak melebihi had yang ditetapkan. Ibu bapa akan dimaklumkan melalui emel, teks atau panggilan telefon jika mereka melebihi halaju yang sepatutnya.
  • Curfew Alert: apabila diaktifkan, sistem ini memaklumkan anda jika kenderaan tersebut dipandu melebihi had masa yang telah ditetapkan.
  • Geographic Parameters: sistem ini memastikan anak anda untuk berada dalam lokasi dan parameter yang telah anda tetapkan sewaktu pemanduan. Jadi, usah risau dengan kemungkinan anak anda melencong atau memandu ke tempat yang lain daripada destinasi yang sepatutnya.
  1. Car-Net – Volkswagen

Volkswagen juga telah membangunkan aplikasinya yang tersendiri, iaitu Car-Net yang membantu ibu bapa untuk mengawal dan mengawasi pemanduan anak remaja melalui Apple Watch atau telefon pintar. Selepas anda menghubungkan aplikasi ini dengan kenderaan anda, maka ia akan diaktifkan dan anda boleh mengawal halaju serta perkara lain berkaitan pemanduan untuk anak remaja anda.

Apapun pilihan teknologi untuk kenderaan anda, apa yang paling utama ialah keselamatan bagi anak-anak remaja sewaktu mereka memandu. Teknologi ini membantu ibu bapa untuk mendidik anak-anak untuk menjadi pemandu yang lebih bertanggungjawab di jalan raya.

Continue Reading
Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Advertisement

Facebook

To Top