Connect with us

TANJUNG SIMPANG MENGAYAU: THE TIP OF BORNEO

Travel

TANJUNG SIMPANG MENGAYAU: THE TIP OF BORNEO

Jika anda lihat di dalam peta Pulau Borneo, destinasi pelancongan yang satu ini sangat unik, kerana ia terletak di kawasan paling utara di Pulau Borneo. Kerana itulah, ia mempunyai gelarannya yang tersendiri, iaitu ‘TheTip of Borneo’ disebabkan kedudukan geografinya ini. Nama destinasi yang dimaksudkan ini ialah Tanjung Simpang Mengayau, yang berada dalam daerah Kudat, Sabah. Tanjung Simpang Mengayau ini juga merupakan titik kepada pertemuan antara Laut Sulu dengan Laut China Selatan.

 

Nama asal bagi Tanjung Simpang Mengayau ini adalah Tanjung Sampang Mangazou, iaitu perkataan yang berasal daripada bahasa kaum Rungus, iaitu sebuah kumpulan etnik yang tinggal di daerah Kudat. Nama Tanjung yang merujuk kepada kawasan tanjung, Sampang yang bererti kesatuan dan Mangazou yang bermaksud pertempuran, membawa erti keseluruhan sebagai lokasi di mana berlakunya pertempuran apabila etnik Rungus ini mempertahankan wilayah mereka daripada serangan lanun. Lagenda menyatakan bahawa kawasan tanjung ini telah dijadikan sebagai kawasan pendaratan bagi lanun. Penduduk Cina tempatan pula memanggil kawasan ini sebagai Den Foh Liew yang bermaksud rumah api dalam dielek Hakka. Ini kerana sebuah rumah api yang terletak di Pulau Kalampunian boleh dilihat dari kawasan Tanjung Simpang Mengayau ini.

Kawasan Tanjung Simpang Mengayau ini juga turut dikenali dengan gelaran ‘Tanduk Negeri Sabah’, dan jika anda melihatnya di dalam peta, anda dapat melihat bagaimana bentuk kawasan ini adalah seolah-olah seperti kepala anjing. Istimewanya Tanjung Simpang Mengayau ini kerana ia telah dibangunkan khusus sebagai destinasi pelancongan buat para pengunjung dari dalam dan luar negara.

Ciri menarik yang terdapat di Tanjung Simpang Mengayau ini adalah sebuah taman berbentuk persegi yang telah dibina dengan bendera Malaysia yang berkibar pada tiangnya serta sebuah glob gangsa besar. Glob gangsa ini meletakkan penunjuk lokasi bagi Tanjung Simpang Mengayau, iaitu pada kedudukan latitud 7 darjah di utara dan longitud 116 darjah di bahagian timur. Pada glob ini juga terdapat peta yang memaparkan Pulau Borneo dengan tulisan yang bertanda ‘The Tip of Borneo’.

Tanjung Simpang Mengayau merupakan sebuah destinasi pelancongan yang sangat indah dan mempesonakan. Udaranya sangat bersih dan menyegarkan. Malah, ia adalah destinasi paling sesuai untuk anda bercuti bersama keluarga dan anak-anak. Tanjung Simpang Mengayau turut memberi peluang kepada anda untuk menyaksikan sendiri panorama indah ketika matahari terbit serta ketika matahari tenggelam.

Aktiviti yang boleh anda lakukan di sini adalah pelbagai. Bagi anda yang gemarkan seni fotografi, ini adalah lokasi paling sesuai untuk anda merakam pelbagai panorama menarik. Bagi kanak-kanak, mereka turut boleh mengambil peluang untuk melukis dan memotretkan keindahan yang terdapat di Tanjung Simpang Mengayau ini. Di bahagian bawah, iaitu di pantai, terdapat kawasan yang telah dikhaskan untuk berenang. Bagi anda yang ingin berenang, boleh melakukannya di kawasan tersebut untuk tujuan keselamatan.

Bagaimana untuk sampai ke Tanjung Simpang Mengayau ini? Pertama sekali, ia terletak dalam daerah Kudat, iaitu kira-kira 25 kilometer dari bandar Kudat. Jika anda dari Kota Kinabalu, maka anda akan mengambil masa kira-kira dua jam setengah untuk memandu ke kawasan ini. Terdapat juga pantai-pantai lain yang berdekatan dengan Tanjung Simpang Mengayau ini seperti Pantai Bak Bak.

Tanjung Simpang Mengayau adalah destinasi pilihan jika anda inginkan ketenangan dalam percutian bersama keluarga tersayang. Rasai dan nikmati sendiri kesegaran udara di sini sambil menghayati panorama indah yang dihidangkan di hadapan mata anda!

 

 

Continue Reading
Advertisement
You may also like...
Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Advertisement

Facebook

To Top