Connect with us

GUA WANG BURMA: TEROKAI GUA BATU KAPUR TERPANJANG

Travel

GUA WANG BURMA: TEROKAI GUA BATU KAPUR TERPANJANG

Bagi sesetengah orang yang inginkan kelainan dalam suasana percutian, iaitu anda yang gemarkan aktiviti pengembaraan serta pengalaman yang lain daripada yang lain, anda boleh mencuba sendiri pengalaman untuk meneroka gua batu batu kapur yang terpanjang di Semenanjung Malaysia ini. Gua Wang Burma terletak di Taman Negeri Perlis, Wang Kelian, iaitu kira-kira 42 kilometer dari Bandar Kangar, Perlis. Gua Wang Burma ini telah terbentuk sepanjang kira-kira 3.8 kilometer, dan sering menjadi tumpuan bagi individu yang gemarkan aktiviti menerokai gua.

Sebenarnya, lokasi Gua Wang Burma ini adalah di Banjaran Nakawan, iaitu banjaran batu kapur terpanjang di Malaysia yang menjadi sempadan bagi Malaysia dan Thailand. Bagaimana nama Wang Burma ini diperoleh? Perkataan ‘Wang’ adalah berasal daripada perkataan Siam yang membawa erti lembah, manakala ‘Burma’ pula adalah kerana penduduk asal yang membuka penempatan di kawasan lembah ini adalah orang-orang Burma.

Uniknya bagi Gua Wang Burma ini, terdapat dua pintu masuk utama yang boleh anda lalui sebelum memulakan pengembaraan anda menerokai gua, iaitu Pintu Gua Wang Burma 1 dan 2. Gua Wang Burma 1 adalah gua yang kering, manakala Gua Wang Burma 2 pula adalah gua yang basah. Bagi laluan untuk ke Gua Wang Burma 1, anda harus melalui perjalanan meredah hutan dan mendaki bukit sejauh 700 meter dari tapak perkhemahan di Taman Negeri Perlis. Laluan ini hanya mengambil masa kira-kira 30 minit sahaja, dan di sepanjang perjalanan meredah hutan ini, anda akan dapat menyaksikan keindahan flora dan fauna yang mempesonakan.

Pada pertengahan jalan sewaktu melalaui laluan ini, anda juga akan dapat menyaksikan simpang jalan untuk menuju ke Gunung Perlis, iaitu kawasan paling utara di Semenanjung Malaysia. Keadaan di dalam Gua Wang Burma 1 ini pasti mengujakan kerana anda akan dapat melihat sendiri formasi stalagtik yang sangat besar dan dipercayai berusia 500 tahun. Malah, ada juga formasi stalagtik yang mempunyai bentuk yang unik. Anda akan melalui kawasan sungai di dalam gua yang berpasir dan akan melalui pintu-pintu gua yang sangat kecil. Setelah itu, anda akan dapat keluar melalui pintu Gua Wang Burma 2, dan dari pintu kedua ini, anda akan melalui semula kawasan hutan untuk kembali ke tempat permulaan di tapak perkhemahan.

Apa yang menarik di Gua Wang Burma? Gua ini sebenarnya dibuka untuk orang ramai bagi merasai sendiri pengalaman menerokai gua dan mengembara di dalamnya. Gua Wang Burma ini mempunyai laluan yang unik serta mengandungi batu kapur stalagtit dan stalagmit yang berusia sekitar 500 juta tahun. Ukuran batuan stalagtit dan stalagmit ini sangat panjang dan mengambil masa yang sangat lama untuk terbentuk. Malah, terdapat juga kesan tinggalan tulisan Siam/Thailand pada dinding gua yang dikatakan ditulis ketika zaman pendudukan Jepun dahulu.

Pengembaraan menerokai Gua Wang Burma ini boleh dianggap tidak terlalu mencabar, dan sebenarnya mampu untuk ditempuh oleh golongan kanak-kanak juga. Untuk sampai ke kawasan Gua Wang Burma ini, perkara pertama yang anda harus lakukan adalah untuk pergi ke Taman Negeri Perlis dan bertemu dengan renjer yang bertugas. Sedikit yuran akan dikenakan dan renjer atau pemandu arah bagi aktiviti meneroka gua ini akan mengendalikan kumpulan anda mengembara ke Gua Wang Burma.

Continue Reading
Advertisement
You may also like...
Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Advertisement

Facebook

To Top