Connect with us

PULAU AUR: SYURGA HIDUPAN MARIN

Travel

PULAU AUR: SYURGA HIDUPAN MARIN

Bagi anda yang berkunjung ke negeri Johor, terutamanya di daerah Mersing, jangan lepaskan peluang anda untuk menikmati keindahan salah satu daripada pulau yang terdapat di situ, iaitu Pulau Aur. Ya, nama Pulau Aur ini tidaklah sepopular seperti pulau-pulau pelancongan yang lain seperti Pulau Kapas, Pulau Redang mahupun Pulau Tioman, namun, ia sebenarnya mempunyai daya tarikannya yang tersendiri.

Lokasi Pulau Aur ini adalah kira-kira 60 kilometer dari bahagian timur daerah Mersing, Johor. Menariknya, Pulau Aur ini merupakan salah satu daripada gugusan pulau yang terdapat dalam kawasan Taman Marin Johor. Pulau-pulau lain yang terletak berhampiran dengan Pulau Aur ini adalah Pulau Rawa, Pulau Pemanggil, Pulau Besar, Pulau Sibu dan Pulau Tinggi. Seperti mana pulau-pulau lain, Pulau Aur ini juga mengalami musim hujan dan tengkujuh pada setiap akhir tahun, dengan gelombang besar yang berlaku akibat tiupan angin timur laut.

Tarikan utama yang terdapat di Pulau Aur ini adalah ia merupakan syurga bagi banyak hidupan marin, Pulau Aur merupakan salah satu tapak bagi penyemaian Kerang Gergasi (giant cockle). Dari segi kedudukan pula, Pulau Aur merupakan pulau paling jauh dari daratan Semenanjung Malaysia. Disebabkan oleh keadaannya yang kaya dengan pelbagai hidupan marin, maka ia turut menjadi lokasi utama bagi pengunjung untuk melakukan aktiviti selam skuba dan snorkeling. Ia juga merupakan antara tumpuan utama bagi para nelayan untuk mencari rezeki di kawasan perairannya.

Selain itu, Pulau Aur ini juga terkenal istimewa dengan tumbuhan tropika dan hutan malar hijaunya. Malah, anda pasti akan dapat melihat sebahagian besar daripada pulau ini diliputi oleh hutan hujan tropika. Yang istimewanya di Pulau Aur ini adalah bentuk permukaannya yang banyak berbukit-bukit. Bagi anda yang sukakan cabaran, boleh mencuba untuk mendaki ke kawasan Batu Cina. Kawasan Batu Cina boleh dianggap sebagai penanda bagi keseluruhan Pulau Aur ini. Dari atas Batu Cina, anda akan dapat menyaksikan pemandangan pantai serta Teluk Berhala.

Teluk Berhala ini adalah pesisir pantai yang utama di Pulau Aur. Malah, jeti di Teluk Berhala ini merupakan jeti utama di Pulau Aur. Apa yang menarik di kawasan pesisiran pantai Teluk Berhala ini adalah pasirnya yang putih bersih, serta air lautnya yang jernih membiru. Untuk sampai ke Teluk Berhala ini, anda boleh memilih untuk jungle trekking, bagi merasai sendiri kawasan berbukit serta melalui beberapa jambatan kayu kecil sebelum sampai ke Teluk Berhala.

Apa aktiviti yang boleh anda lakukan di Pulau Aur ini? Banyak sebenarnya aktiviti yang boleh anda lakukan di sini, sesuai dengan minat dan hobi anda. Yang pertama, sudah pastilah aktiviti snorkeling dan selam skuba. Ini adalah aktiviti wajib bagi yang gemarkan aktiviti air, serta mahu menyaksikan sendiri hidupan marin di dasar laut. Siapkan peralatan untuk selam skuba atau snorkeling, dan anda boleh terokai sendiri dasar laut di Pulau Aur ini.

Seterusnya, bagi yang gemarkan aktiviti lasak seperti jungle trekking dan mendaki, Pulau Aur juga adalah destinasi tepat untuk anda. Melalui Pulau Aur, anda boleh menaiki bot untuk pergi ke sebuah lagi pulau kecil berhampirannya, iaitu Pulau Dayang. Di sini, kebiasaannya ada dijalankan aktiviti mendaki atau hiking bagi yang meminatinya. Apa yang menarik, aktiviti mendaki ini dijalankan menggunakan tali, dan sepanjang aktiviti itu, anda akan dapat melihat keseluruhan pemandangan indah di kawasan pulau tersebut.

Bagaimana untuk sampai ke Pulau Aur? Kebiasannya, pengangkutan menggunakan bot untuk tiba di Pulau Aur ini adalah disewa melalui resort, chalet atau tempat penginapan yang terdapat di Pulau Aur. Ini bermakna, jika anda merancang untuk menetap di sesuatu resort di Pulau Aur, maka ia akan menyediakan kemudahan bot untuk anda bertolak pergi ke pulau ini. Anda juga boleh memilih untuk menyewa bot lain yang berada di sekitar jeti Mersing, sama ada bot laju atau bot biasa. Perjalanan yang diambil untuk sampai ke Pulau Aur adalah sekitar dua hingga tiga jam.

Terdapat banyak tempat penginapan yang disediakan di Pulau Aur ini, antara yang terkenal ialah Sebukang Bay Resort, Bluewater Holiday Resort dan Atlantis Bay Resort. Pilih sahaja resort yang anda sukai, dan nikmati percutian penuh kembara di Pulau Aur!

 

 

Continue Reading
Advertisement
Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Advertisement

Facebook

To Top