Connect with us

LATA KINJANG: AIR TERJUN PALING TINGGI DI ASIA TENGGARA

Travel

LATA KINJANG: AIR TERJUN PALING TINGGI DI ASIA TENGGARA

Jika anda berkunjung ke negeri Perak, anda harus meletakkan destinasi ini dalam senarai yang wajib untuk anda lawati. Destinasi yang dimaksudkan ini adalah Lata Kinjang, yang terletak di kawasan Chenderiang, iaitu dalam pekan Tapah. Apa yang menarik di kawasan ini?

Lata Kinjang, atau disebut juga sebagai Taman Eko Rimba Lata Kinjang, adalah lokasi unik yang tidak asing lagi bagi para penduduk di kawasan Chenderiang ini. Lata Kinjang ini terletak kira-kira 18 kilometer dari pekan Tapah, Perak. Uniknya kawasan Lata Kinjang ini adalah ia telah diiktiraf sebagai antara air terjun paling tinggi yang terdapat di Asia Tenggara. Anda sendiri akan dapat menyaksikan pemandangan dari kejauhan air terjun tinggi Lata Kinjang ini di Banjaran Titiwangsa sekiranya anda menggunakan Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) yang melalui kawasan Tapah.

Ketinggian air terjun Lata Kinjang ini adalah melebihi 850 meter, dan ia sebenarnya sering menjadi tumpuan para pengunjung sama ada dari dalam atau luar negara. Istimewanya Lata Kinjang ini adalah kisah yang berlingkar di sebalik kewujudan dan namanya itu sendiri. Kisah penduduk setempat menyatakan bahawa nama Lata Kinjang ini diperoleh kerana pada zaman dahulu, terdapat banyak kijang di kawasan tersebut. Namanya telah berubah menjadi ‘kinjang’ kerana orang-orang Inggeris yang datang untuk memburu kijang di kawasan tersebut menyebutnya sebagai ‘kinjang’ mengikut pelat mereka.

Ada satu lagi kisah istimewa yang dikaitkan dengan kawasan air terjun Lata Kinjang ini. Lagenda tempatan menyebut bahawa seorang wanita cantik, yang dipercayai puteri bunian telah muncul di kawasan tersebut sehingga telah membuatkan seorang hartawan Inggeris terpesona dan beliau ingin mengahwininya. Hartawan itu dikatakan telah membina sebuah banglo di tingkat satu air terjun dan turut membina tangga batu dari bawah hingga ke puncak air terjun untuk melihat sendiri puteri bunian tersebut. Namun, usahanya hanya sia-sia dan puteri bunian yang ditunggu tidak juga muncul, sekaligus membuatkan hartawan itu berasa kecewa dan meninggalkan kawasan tersebut. Ini adalah kerana puteri bunian yang menjadi penjaga air terjun tersebut hanya muncul pada seketika sahaja dan tidak ingin dirinya dilihat atau dikenali oleh sesiapa pun.

Air terjun Lata Kinjang yang bertingkat-tingkat mempunyai banyak kesan yang dkaitkan dengan kisah mitos dan lagenda oleh penduduk tempatan. Tingkat tiga air terjun ini mempunyai kesan tapak kaki kijang dan harimau akar yang dikatakan telah disumpah oleh Sang Kelembai menjadi batu. Sang Kelembai adalah makhluk sakti dalam mitos masyarakat tempatan dan pada zaman dahulu ia dikatakan sering mengunjungi kawasan Lata Kinjang tersebut.

Di kawasan Lata Kinjang ini juga, terdapat satu jambatan gantung yang mana para pengunjung boleh menyaksikan keindahan air terjun apabila berada di atas jambatan gantung ini. Kini, kawasan jambatan gantung ini sering menjadi tumpuan para pengunjung untuk berswafoto lantaran keindahan kawasan sekitarnya.

Banyak aktiviti yang dapat anda lakukan di Lata Kinjang ini. Aktiviti biasa pastinya perkelahan di kawasan air terjun sambil menikmati desiran air yang mencurah turun. Malah, anda juga boleh mandi dan bermain air dengan sepuasnya pada setiap anak tangga air terjun Lata Kinjang inidengan ditemani bunyi pelbagai unggas rimba. Namun, anda juga harus berhati-hati kerana setiap anak tangga air terjunnnya adalah licin.

Terdapat juga beberapa buah pondok yang telah disediakan untuk anda berehat di sekitar kawasan air terjun tersebut. Bagi anda yang gemarkan aktiviti berkhemah di dalam hutan, anda juga boleh berbuat demikian dengan meminta kebenaran daripada pihak Jabatan Perhutanan Negeri Perak terlebih dahulu sebelum menjelajah ke hutan tersebut.

Anda yang ingin merasai kejernihan air terjun bertingkat-tingkat, serta menikmati pemandangan indah ditemani unggas rimba, bolehlah berkunjung ke Taman Eko Rimba Lata Kinjang ini. Air terjunnya yang boleh dilihat di Banjaran Titiwangsa ini mempunyai lapan tingkat, menawarkan pemnadangan penuh mempesona bagi anda yang baru pertama kali berkunjung ke kawasan ini. Bayaran masuk yang dikenakan hanyalah RM2 bagi setiap seorang dan banyak kemudahan lain yang turut disediakan di sini seperti surau, tandas awam dan gerai menjual makanan serta minuman. Ayuh berkunjung ke Lata Kinjang!

Continue Reading
Advertisement
You may also like...
Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Advertisement

Facebook

To Top