Connect with us

INOVASI TEKNOLOGI HIJAU: KERETA HIBRID

Automotif

INOVASI TEKNOLOGI HIJAU: KERETA HIBRID

Apabila kita menyebut mengenai teknologi hijau, apakah yang terbayang dalam fikiran anda? Adakah anda benar-benar memahami apakah yang dimaksudkan dengan teknologi hijau ini? Mari kita lihat dahulu apakah definisi dan konsep di sebalik teknologi hijau ini.

 

Teknologi hijau ini sebenarnya merujuk kepada produk, peralatan atau sistem yang memenuhi kriteria seperti untuk meminimumkan degradasi kualiti persekitaran, mempunyai pembebasan gas rumah hijau yang rendah atau sifar, selamat untuk digunakan dan menyediakan persekitaran sihat dan lebih baik untuk semua hidupan, menjimatkan tenaga dan sumber asli dan menggalakkan sumber yang boleh diperbaharui. Ia adalah teknologi rendah karbon dan lebih mesra alam berbanding dengan teknologi sedia ada. Apabila kita menggunakan teknologi hijau, kita menggunakan sumber-sumber seperti tenaga, air dan sebagainya secara minimum untuk menghasilkan sesuatu produk.

Kenapa teknologi hijau ini penting buat masyarakat hari ini? Seperti mana yang kita sedia maklum, fenomena pemanasan global yang berlaku hari ini memberi petanda bahawa wujudnya ketidakseimbangan dalam bajet haba. Input haba diterima oleh sistem bumi berlebihan berbanding outputnya. Justeru, berlaku kenaikan suhu pada semua skala sama ada mikro atau makro. Pemanasan global terjadi melalui dua mekanisme penting iaitu melalui kesan rumah hijau dan juga penipisan lapisan ozon.

Walaupun terdapat punca semulajadi, tetapi aktiviti manusia lebih banyak menyumbang terhadap berlakunya fenomena ini. Kesan rumah hijau banyak disumbangkan oleh gas karbon dioksida. Lantaran itu penekanan terhadap ‘teknologi hijau’ adalah alternatif tepat dalam menangani masalah kesan rumah hijau ini selaras dengan agenda utama kerajaan seluruh dunia pada masa kini yang memberi keutamaan kepada isu alam sekitar khususnya fenomena perubahan cuaca.

Teknologi hijau ini adalah teknologi rendah karbon dan lebih mesra alam berbanding teknologi sedia ada. Teknologi hijau merangkumi sumber tenaga seperti angin, air, solar, hibrid dan lain- lain yang bersumberkan alam semula jadi. Terdapat banyak manfaat daripada teknologi hijau ini. Antaranya ialah teknologi hijau terbukti lebih cekap kerana ia boleh menjana tenaga dalam pelbagai keadaan dengan kos murah, selamat dan mesra pengguna.

Pada masa kini, terdapat pelbagai produk dan inovasi yang telah dihasilkan bagi memenuhi keperluan kepada teknologi hijau ini dan seterusnya memelihara alam sekitar. Salah satu daripadanya ialah penghasilan kereta hibrid. Kereta hibrid ini boleh dianggap sebagai satu inovasi teknologi hijau dan merupakan sebuah kereta yang mesra alam sekitar. Buat masa kini, kereta hibrid telah pun berjaya dihasilkan dan dikomersilkan dalam pasaran.

Kereta hibrid adalah kereta yang menggunakan lebih daripada satu sumber tenaga untuk menggerakkan kereta tersebut. Ianya menggunakan sama ada minyak petrol ataupun diesel bersama-sama dengan sebuah motor elektrik. Kerana itulah, kereta hibrid ini juga boleh dipanggil sebagai sebuah kereta elektrik. Ciri utama yang paling menonjol pada sesebuah kereta hibrid ialah ia mampu untuk mengurangkan penggunaan minyak petrol sebagai bahan bakar dalam enjin. Selain itu, kereta jenis ini juga membebaskan hanya sedikit gas karbon dioksida (CO2) berbanding kereta yang biasa yang lain.

Kereta hibrid ini boleh dikategorikan kepada beberapa jenis tertentu di mana fungsinya seakan-akan sama seperti kereta automatik yang lain. Jenis yang pertama ialah hibrid konvensional, yang mana ia terbahagi pula kepada dua bahagian, iaitu bahagian hibrid penuh dan juga hibrid sederhana. Hibrid penuh ini mampu bergerak menggunakan tenaga yang dihasilkan oleh enjin sahaja, bateri sahaja ataupun kedua-duanya sekali.

Kereta ini berfungsi melalui dua keadaan, iaitu jika ingin menggunakan kelajuan rendah, enjin akan berhenti bergerak dan hanya akan menggunakan motor elektrik. Kemudian, jika ingin melakukan pecutan, kedua-dua enjin dan motor tersebut akan digunakan. Pada peringkat ini, lebihan tenaga yang dihasilkan daripada enjin akan digunakan untuk mengecas bateri motor elektrik. Kapasiti penuh bagi bateri ini dikatakan mampu untuk menjana tenaga yang cukup untuk menggerakkan kereta tersebut sejauh 2km. Bagi hibrid sederhana pula, kereta hibrid jenis ini mempunyai enjin yang dilengkapi dengan motor elektrik untuk menjana tenaga yang lebih. Tetapi perbezaannya adalah, motor tersebut tidak mampu untuk menggerakkan kereta secara sendirinya tanpa sokongan daripada enjin.

Pada masa kini, banyak pengeluar automotif terkenal seperti Toyota, Ford dan Honda mula mengambil inisiatif bagi menghasilkan kereta hibrid selaras dengan kehendak kepada penggunaan teknologi hijau ini. Toyota sebagai contohnya menggunakan sistem seperti ini bagi kereta hibrid keluarannya, dengan model Yaris and Auris bagi model hatchbacks dan Prius+ bagi kenderaan jenis MPV. Sementara itu, syarikat automotif Ford pula mengeluarkan Ford Escape Hybrid, dan Ford Fusion Hybrid untuk kenderaan hibrid mereka.

Teknologi hijau dapat membantu memulihara dan mengurangkan kesan buruk kepada alam sekitar. Apabila kita menggunakan teknologi hijau, kesan negatif terhadap alam sekitar dapat diminimumkan. Oleh itu, penggunaan kereta hibrid ini adalah salah satu usaha kita dalam memelihara keseimbangan alam dan memanfaatkan teknolgi hijau.

 

 

Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Advertisement

Facebook

To Top