Connect with us

PULAU TENGGOL: SYURGA PARA PENYELAM SKUBA

Travel

PULAU TENGGOL: SYURGA PARA PENYELAM SKUBA

Bagi anda yang menggemari aktiviti luar dan lasak, dan suka melancong ke kawasan yang lain daripada yang lain, ini adalah tempat yang mungkin menepati citarasa anda. Pulau Tenggol, sebuah pulau yang terletak di Terengganu, merupakan antara pulau yang semakin mendapat tempat dalam kalangan para pelancong pada masa kini.

Pulau Tenggol hanyalah sebuah pulau kecil yang berukuran kira-kira 3 kilometer panjang dan 2 kilometer lebar, yang terletak di persisiran pantai Terengganu, iaitu di kawasan Dungun, Terengganu. Pulau ini merupakan salah satu destinasi pelancongan yang menarik di kawasan Dungun dan masih terpelihara keindahannya berbanding pulau-pulau lain yang terdapat di Terengganu. Pulau Tenggol terdiri daripada beberapa buah pulau kecil lain yang menjadi syurga buat para penyelam skuba yang ingin melihat keindahan hidupan marin dengan lebih dekat. Pulau Tenggol ini juga merupakan sebuah taman marin (marin park) atau taman laut yang telah diwartakan sama seperti Pulau Redang.

Ciri-ciri yang terdapat pada kawasan muka bumi Pulau Tenggol ini ialah kawasan pedalaman pulau yang dipenuhi dengan tebing batu yang curam. Bentuk muka bumi yang berbatu ini mengunjur dari pedalaman pulau terus ke laut lalu membentuk pinggir tebing yang curam di bawah laut seolah-olah seperti dinding kanvas bagi hidupan laut. Antara pulau-pulau kecil lain yang terdapat di kawasan Pulau Tenggol ini ialah Pulau Nyireh, Tokong Timur, Tokong Talang, Tokong Burung dan Tokong Kemudi.

Sebagai sebuah lokasi yang sering menjadi pilihan bagi para penyelam skuba, pulau ini menyediakan hampir 20 kawasan yang sesuai sebagai lokasi bagi aktiviti selam skuba. Antaranya ialah Teluk Air Tawar yang menjadi tempat terbaik untuk anda melihat penyu. Sementara itu, kawasan Batu Tokong Laut pula merupakan antara tempat menarik bagi menyaksikan kawanan ikan selar secara berkumpulan serta beberapa jenis batu karang pelantar laut dalam. Malah, jika anda mengunjungi Pulau Tenggol ini pada sekitar bulan Julai hingga September, anda mungkin berpeluang untuk menyaksikan kehadiran yu paus yang besar dan cantik yang biasanya dilihat memakan plankton dan udang kecil di sekitar pulau ini.

Aktiviti selam skuba dan snorkeling merupakan aktiviti-aktiviti utama yang boleh dilakukan sekiranya anda mengunjungi Pulau Tenggol ini. Kebiasaannya, aktiviti ini dijalankan bagi menjejaki terumbu karang di dalam laut serta melihat sendiri bangkai-bangkai kapal karam yang mungkin terdampar di dasar laut. Antara hidupan laut yang boleh dilihat di sini ialah karang lembut (soft coral), nudibranch, seaweed, batfish, penyu laut, Napoleon Wrash, clownfish (nemo fish) dan yu paus.

 

Namun, anda harus merancang terlebih dahulu aktiviti yang ingin lakukan di pulau ini. Malah, anda boleh membuat tempahan awal dengan pengusaha perkhidmatan bot, iaitu bot laju untuk tujuan “day-trip diving”. Tempat-tempat selaman yang boleh dilawati ialah Teluk Air Tawar, Rajawali, Tokong Batu, Tokong Timur Dan Tanjung Gemuk. Sekiranya anda ingin menyelam skuba, peralatan untuk aktiviti selam skuba ini boleh disewa di pulau ini atau dibawa sendiri. Kadar sewaan untuk bot laju pula ialah lebih kurang RM600 hingga RM650 untuk satu hari. Bot ini boleh memuatkan seramai 6 orang dan kadar sewa ini adalah termasuk dengan bot, petrol, pemandu pelancong dan makan tengah hari.

Bot laju ini harus disewa daripada jeti Kuala Dungun untuk bertolak ke Pulau Tenggol. Kadar sewaan bot ini sebenarnya adalah lebih murah sekiranya anda ingin ke resort di Pulau Tenggol. Anda hanya perlu berunding dengan pihak resort supaya bayaran pemindahan bot (boat transfer fee) dimasukkan sekali ke dalam pakej anda, di mana anda harus memastikan bahawa ia adalah perjalanan dua hala (return trip). Perjalanan biasanya hanya mengambil masa 40 minit dengan bot laju (2 jam dengan bot nelayan biasa).

Terdapat banyak resort dan chalet kecil yang boleh anda sewa di Pulau Tenggol ini,  meskipun ia tidaklah sebanyak resort yang terdapat di Pulau Kapas atau Pulau Perhentian. Antara resort yang utama ialah Tenggol Island Resort (nama lama ialah Tenggol Aqua Resort) yang terletak di Telok Air Tawar yang merupakan resort yang terkenal dan sering menjadi pilihan di Pulau Tenggol. Ia terdiri daripada chalet-chalet kayu dengan latar belakang hutan hujan tropika. Namun, jika anda tidak ingin menetap di Pulau Tenggol dan hanya ingin melakukan lawatan sehari ke pulau ini, anda boleh memilih untuk menetap di kawasan Dungun, dengan pilihan beberapa hotel yang sederhana dan murah seperti Hotel Sura dan Hotel UiTM.

Sesungguhnya, Pulau Tenggol merupakan lokasi yang paling sesuai bagi mereka yang cintakan keindahan dasar laut serta ingin menikmati keseronokan dalam melakukan aktiviti selam skuba. Berkunjunglah ke Pulau Tenggol dan saksikan sendiri keindahannya!

 

Continue Reading
Advertisement
You may also like...
Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Advertisement

Facebook

To Top