Connect with us

ADA APA DENGAN SANDWICH?

Makanan

ADA APA DENGAN SANDWICH?

Apa sarapan anda hari ini? Roti sandwich? Ia bukan sesuatu yang mengejutkan kerana beratus ribu manusia di seluruh dunia juga turut menikmati sandwich pada setiap hari. Malah, masyarakat di Amerika sendiri secara puratanya telah menikmati hampir 200 sandwich seorang pada setiap tahun. Apa istimewanya kepingan roti yang bernama sandwich ini? Adakah keistimewaannya terletak pada inti sandwich tersebut? Atau pada jenis rotinya?

Mari kita lihat dulu apakah definisi sandwich ini. Konsep sandwich ini sebenarnya adalah begitu mudah, iaitu dua keping roti dengan apa jua inti di dalamnya. Namun, tahukah anda sejarah di sebalik kepingan sandwich ini?

Sejarah Sandwich

Ketika Zaman Pertengahan, iaitu pada sekitar abad ke-6 hingga abad ke-16 Masehi, masyarakat telah menggunakan kepingan roti sebagai pinggan atau tempat untuk meletakkan makanan mereka yang lain. Sayur-sayuran dan daging diletakkan di atas kepingan roti tersebut dan mereka menjamah hidangan itu dengan menggunakan tangan. Ini telah direkodkan dalam sejarah sebagai pertama kalinya sandwich jenis terbuka digunakan dan masyarakat pada waktu itu memanggilnya sebagai trenchers.

Sejarah sebenar nama sandwich bermula pada abad ke-18 Masehi, dengan seorang aristokrat Inggeris yang bernama John Montagu, iaitu Earl of Sandwich yang keempat pada waktu itu. Sandwich sebenarnya merupakan nama sebuah bandar yang terletak di wilayah Kent, bahagian tenggara England. John Montagu telah mewarisi gelaran Earl of Sandwich ini daripada datuknya, iaitu Edward Montagu (Earl of Sandwich ketiga) pada tahun 1729, dan beliau hanya berusia 10 tahun pada ketika itu.

John Montagu sewaktu zaman perkhidmatannya sebagai First Lord of Admiralty, iaitu antara tahun 1748 hingga 1751, begitu gemar berjudi. Montagu sanggup menghabiskan masa berjam-jam di meja judi dan tidak akan berganjak meskipun untuk menikmati makanan. Disebabkan beliau tidak ingin meninggalkan meja judinya, maka Montagu sering meminta tukang masaknya untuk membawakan makanan agar dia dapat menikmatinya di meja judi tersebut.

Makanan yang sangat digemari olehnya adalah roti, namun, Montagu turut dikenali sebagai seorang yang cerewet, dan beliau telah meminta tukang masaknya untuk meletakkan kepingan daging di antara dua keping roti bakar. Bagi Montagu, hidangan ini mengenyangkan dan ia juga memudahkan dirinya tanpa perlu bergerak daripada tempat perjudiannya. Hidangan ini kemudiannya menjadi semakin terkenal, kerana ramai orang mula melihat bagaimana Montagu menikmati dua keping roti bersama kepingan daging tersebut, dan terdapat banyak permintaan untuk mendapatkan roti seperti Sandwich (Earl of Sandwich) itu.

Di Amerika Syarikat pula, sandwich pertama kalinya telah diperkenalkan pada tahun 1840 oleh Elizabeth Leslie, melalui buku masakannya, iaitu Directions for Cookery. Di dalam buku ini, Elizabeth telah menulis resepi sandwich ham, yang sesuai untuk dijadikan hidangan makan tengah hari atau makan malam. Sandwich ham ciptaan Elizabeth ini diperbuat daripada sekeping roti nipis yang telah disapu mentega bersama sedikit mustard, dan ham sebelum digulung atau dimakan begitu sahaja.

Pada sekitar 1900-an, sandwich mula terkenal di Amerika Syarikat dan menjadi antara makanan penting dalam kalangan masyarakatnya. Pelbagai lapisan masyarakat menggemari sandwich kerana ia mudah untuk disediakan dan sesuai untuk kanak-kanak serta orang dewasa. Tidak lama selepas itu, hamburger telah dicipta oleh Louis Lassen, seorang pemilik restoran di Connecticut, yang memperkenalkan kepingan daging goreng di antara kepingan roti bulat.

Pada 3 November setiap tahun, Hari Sandwich akan disambut sebagai memperingati bagaimana Earl of Sandwich, John Montagu telah mencipta roti yang menjadi kegemaran dunia ini, dan tarikh ini merupakan tarikh lahir kepada Montagu.

Begitulah serba sedikit sejarah di sebalik kepingan sandwich yang hampir saban hari kita makan dan lihat. Walau apa jua inti, jenis roti, sayuran dan sos yang digunakan untuk setiap jenis sandwich yang berbeza ini, namun asasnya tetap sama, seperti yang pernah dimakan oleh Earl of Sandwich, iaitu dua kepingan roti, dengan kepingan daging di antara keduanya. Nikmatilah sandwich mengikut apa sahaja selera yang anda ingini!

 

 

Continue Reading
Advertisement
Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Advertisement

Facebook

To Top