Connect with us

MAKANAN TRADISI: NASI TUMPANG

Makanan

MAKANAN TRADISI: NASI TUMPANG

Pernahkah anda mendengar mengenai nasi tumpang? Atau pernahkah anda menikmati nasi tumpang ini? Nasi tumpang, atau dalam dialek Kelantan, lebih dikenali sebagai nasi tupe, merupakan antara makanan yang amat terkenal di negeri Cik Siti Wan Kembang berkenaan. Uniknya hidangan bernama nasi tumpang ini kerana rupa bentuknya yang diletakkan di dalam kelongsong berbentuk kon yang diperbuat daripada daun pisang dan kesemua lauk berada bersama dengan nasi di dalamnya. Nasi tumpang Kelantan ini adalah salah satu daripada makanan yang tersenarai dalam makanan warisan kebangsaan, sebaris dengan nasi lemak, nasi dagang dan pulut kuning.

Sebenarnya, banyak versi yang menceritakan tentang bagaimana asal usul bermulanya makanan bernama nasi tumpang ini. Namun kisah ini adalah yang selalu dan senantiasa diceritakan sejak turun temurun mengenai sejarah di sebalik nasi tumpang ini. Dahulunya, kebanyakan masyarakat di Kelantan mencari rezeki dengan menjadi nelayan dan belayar di lautan sehingga berhari-hari lamanya. Oleh kerana pekerjaan golongan lelaki ini yang memerlukan mereka untuk berada lama di tengah lautan bagi menangkap ikan, maka mereka harus mempunyai bekalan makanan yang mencukupi bagi menampung kehidupan sewaktu bekerja. Para isteri ini telah memikirkan satu cara yang cukup bijak bagi memastikan makanan yang dibawa oleh suami-suami mereka cukup, tahan lama serta tidak memakan ruang yang banyak sewaktu mereka bekerja di lautan.

Disebabkan inilah terhasilnya nasi tumpang, di mana para isteri tersebut telah menyusun pelbagai jenis lauk pauk sekaligus bersama dengan nasi yang telah dimasak dan diisikan di dalam kelongsong kon yang diperbuat daripada daun pisang. Kaedah balutan dengan menggunakan daun pisang ini bertujuan agar nasi yang dibawa itu dapat kekal dan tahan lebih lama sepanjang berada dalam perjalanan tersebut. Selain itu, kaedah susunan lauk yang berselang seli dengan nasi juga dilakukan agar lauk tersebut tidak perlu diisi di dalam bekas yang berasingan dan sekaligus dapat menjimatkan ruang.

Nama nasi tumpang ini sebenarnya diambil kerana kaedah pengisian dan susunan lauk pauknya yang seolah-olah ‘menumpang’ di antara satu sama lain. Ini kerana setiap lauk yang disusun secara berselang seli dan menumpang bersama dengan nasi adalah berbeza-beza, mengikut citarasa dan kesesuaian yang diinginkan oleh seseorang. Antara lauk yang diisi di dalam nasi tumpang ini ialah serunding ikan, kerutuk atau gulai ayam, gulai udang, kari ikan, sambal cili dan timun.

Kebiasaannya, nasi yang dimasak sebagai nasi tumpang ini akan dimasak agak lembut seperti nasi himpit berbanding dengan nasi biasa. Ini sebenarnya bertujuan untuk memudahkan proses pengisian di dalam kelongsong kon daun pisang dan memudahkan susunannya bersama dengan lauk yang lain. Daun pisang yang digunakan bagi pembuatan kelongsong berbentuk kon ini biasanya akan dibersihkan dan disalai atau dilayurkan terlebih dahulu bagi mengelakkannya mudah koyak dan seterusnya memudahkan kerja pembungkusan.

Istimewanya nasi tumpang ini ialah kebiasaannya, masyarakat Kelantan akan menjamahnya dalam keadaan yang sejuk dan bukannya panas sepertimana hidangan nasi yang lain. Malah, nasinya yang agak lembut berbanding nasi dagang atau nasi kerabu memudahkan golongan kanak-kanak dan orang tua untuk menjamahnya tanpa sebarang masalah.

Pada masa kini, perubahan ketara yang berlaku dalam pembuatan nasi tumpang ini adalah penggunaan kertas pembalut makanan bagi menggantikan penggunaan daun pisang sebagai kelongsong nasi tumpang. Ini sebenarnya banyak berlaku di kawasan bandar di mana daun pisang sukar untuk diperoleh, namun, penggunaan kertas pembalut makanan ini dianggap sebagai menghilangkan identiti sebenar nasi tumpang dan mengurangkan aromanya yang sebenar.

Continue Reading
Advertisement
You may also like...
Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Advertisement

Facebook

To Top