Mahu kelihatan cantik dan memiliki kulit menawan seperti selebriti Korea? Pastinya anda semua maklum akan kehalusan dan kecantikan kulit yang dimiliki oleh kebanyakan masyarakat di Korea, lebih-lebih lagi jika anda seorang penggemar budaya Korea atau peminat drama Korea. Anda juga mungkin tertanya-tanya, apakah rahsia yang mereka amalkan? Apa pula bahan-bahan yang mereka gunakan sehingga berjaya memiliki secantik itu? Kami akan berkongsi dengan anda beberapa langkah serta tips yang boleh kita semua amalkan dalam kehidupan seharian bagi mendapatkan kulit yang halus lagi menawan.
Tips 1: Pembersih mekap
Bagi anda yang gemar mengenakan mekap sama ada mekap ringkas atau mekap yang tebal, maka adalah wajib bagi anda untuk menggunakan pembersih mekap sebelum memulakan proses pencucian pada wajah anda. Apa pembersih mekap yang sesuai? Masyarakat Korea banyak menggunakan pencuci berasaskan minyak (oil cleanser) bagi membersihkan wajah mereka daripada bahan mekap. Ini kerana pencuci daripada minyak ini sangat berkesan untuk menanggalkan mekap yang degil serta mencairkan daki-daki yang terdapat di muka terutamanya dalam pori-pori anda. Jika pori-pori anda tersumbat dan tidak dibersihkan dengan betul, bagaimana pula kulit wajah kita mampu untuk menyerap bahan lain dengan efektif? Jangan risau, terdapat banyak jenama pembersih mekap jenis minyak yang mampu anda dapati dalam pasaran pada masa kini.
Tips 2: Pencuci muka
Masyarakat Korea banyak mengamalkan kaedah double cleansing dalam membersihkan wajah mereka. Ini adalah bagi memastikan segala kotoran dan saki baki mekap yang terdapat di wajah dapat betul-betul hilang dan bersih sepenuhnya. Pencuci muka ini boleh didapati dalam bentuk buih dan jenis yang lain, namun anda harus tahu jenis yang sesuai dengan kulit anda sebelum menggunakannya.
Tips 3: Skrub
Penggunaan skrub atau exfoliator ini adalah sangat penting bagi menanggalkan sisa-sisa sel kulit mati yang terdapat pada wajah dan badan anda. Tapi, anda harus ingat, skrub ini boleh anda amalkan hanya dua kali dalam seminggu bagi mengelakkan kulit anda menjadi kering atau menggelupas akibat sentalan yang keterlaluan.
Tips 4: Toner
Penggunaan toner atau penyegar ini juga amat penting bagi mengimbangkan pH kulit anda dan memastikan penyerapan bahan lain dapat dilakukan dengan sempurna. Anda boleh menggunakan kapas lembut untuk menyapu toner ini secara perlahan-lahan ke seluruh wajah anda.